Aktiviti atau sukan air memang menyeronokkan tetapi ada bahayanya.

Banyak perkara yang menyeronokkan apabila berada di dalam air. Lebih menyeronokkan jika anda tahu cara untuk berenang. Berikut adalah panduan keselamatan semasa berada di dalam air:

  1. Sentiasa ambil tahu tentang tempat anda akan berenang. Ketahui kedalaman kolam renang di setiap sudut kolam kerana kedalaman antara dua hujung kolam mungkin berbeza.
  2. Sentiasa gunakan pelampung jika anda tidak mahir atau tidak pandai berenang.
  3. Berenanglah dekat dengan orang dewasa untuk membantu sekiranya berlaku sebarang kecemasan terutamanya jika anda tidak mahir atau tidak pandai berenang. Kolam renang biasanya ada anggota penyelamat. Dapatkan perhatian anggota penyelamat supaya mereka sedar kehadiran anda di kolam renang.
  4. Berenang secara berpasangan/berkumpulan. Sekiranya berlaku kecemasan, kawan atau teman anda boleh memberi bantuan dan mendapatkan pertolongan.
  5. Gunakan tangga untuk masuk ke dalam kolam renang. Jangan lompat. Tersilap membuat anggaran tentang kedalaman kolam renang boleh menyebabkan kecederaan. Manakala jika di sungai atau laut, mungkin terdapat sebuah batu besar di dasar air sehingga boleh menyebabkan kecederaan.
  6. Ketahui kemampuan diri sendiri. Jangan berenang terlalu lama kerana boleh menyebabkan keletihan atau mengalami kekejangan otot. Sekiranya tidak mahir berenang, berenanglah di kawasan yang dasarnya masih boleh disentuh dengan kaki. 
  7. Pelajari kemahiran pertolongan cemasPihak swasta atau bukan kerajaan ada menganjurkan bengkel pertolongan cemas. Kemahiran yang dipelajari mungkin dapat menyelamatkan nyawa.
  8. MenyelamKecederaan boleh berlaku pada leher semasa menyelam jika tidak cekap mengagak kedalaman. Keadaan ini boleh menyebabkan penyelam lumpuh atau boleh menyebabkan kematian.
  9. Perhatikan keadaan cahaya matahari. Sinar matahari yang terpantul dari air boleh menyebabkan kulit terbakar. Gunakan losyen pelindung matahari, kaca mata hitam dan pakaian pelindung sebelum memasuki air. 
  10. Kerap minum air. Walaupun berada di dalam air, dehidrasi mudah berlaku apabila berada bawah panas terik matahari.
  11. Elakkan mengunyah, makan atau minum sambil berenang. Ia boleh menyebabkan seseorang itu tercekik
  12. Elakkan minum minuman beralkahol dan berenang.  Ia adalah satu kombinasi yang kurang bagus dan boleh membahayakan.
  13. Jaga kebersihan di tempat anda berenang
  14. Berenang di kawasan yang selamat.  Ketahui kedalaman air di setiap sudut kolam kerana kedalaman antara dua hujung kolam mungkin berbeza.
  15. Ketahui tanda keselamatan air dan tanda pada bendera di pantai. Terdapat tanda tentang kedalaman air, air pasang atau arus deras yang menunjukkan keadaan air merbahaya.
  16. Kenalpasti bahaya di dalam air. Bahaya termasuklah:
    • Air terlalu sejuk
    • Terdapat arus tersembunyi
    • Sukar melangkah keluar seperti  tebing yang cerun dan berlendir
    • Air terlalu dalam
    • Terdapat benda berbahaya di dalam air yang boleh menyebabkan kecederaan seperti kaca, tin kosong berkarat dan lain-lain
    • Tiada anggota penyelamat
    • Terlalu banyak aktiviti/sukan air di kawasan sekitar.
    • Air tercemar sehingga boleh menyebabkan jangkitan penyakit jika berada di dalam air. Pencemaran air boleh diketahui melalui persekitarannya yang kotor serta terdapat tikus di kawasan sampah. Meminum air yang dicemari air kencing tikus (walaupun tanpa sengaja) boleh menyebabkan jangkitan penyakit “leptospirosis”.
  17. Berhati-hati melakukan aktiviti atau sukan air. Terdapat pelbagai aktiviti/sukan air yang menyeronokkan seperti jet ski, luncur air atau angin dan luncur layang-layang. Patuhi peraturan dan prosedur. Sentiasa pakai jaket keselamatan. Kegagalan mematuhi peraturan dan prosedur boleh menimbulkan masalah dan bukan sahaja membahayakan keselamatan diri sendiri malah orang lain.

Sumber: Kementerian Kesihatan Malaysia